Friday, December 19, 2008

Sejarah Madinah Al Munawarah

KHAZANAH ISLAM DI MADINAH
HAMPIR seluruh jemaah haji dari setiap pelosok dunia mula kembali ke negara masing-masing selepas turut menziarahi kota Madinah.
Sebenarnya, ziarah di tempat-tempat bersejarah di Madinah hukumnya sunat. Ia dibahagikan kepada dua bahagian: ziarah luar dan ziarah dalam.
Ketika ziarah dalam, jemaah akan dibawa ke dalam Masjid Nabawi. Seterusnya menziarahi perkuburan Baqi'.
Bagi ziarah luar pula, jemaah dibawa menaiki bas untuk melawat tempat-tempat bersejarah yang terletak di kota Madinah.
ZIARAH DALAM
Masjid Nabawi di jantung kota Madinah
Masjid itu mula dibina Rasulullah saw dengan bantuan para sahabat yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar pada 622 Masihi.
Ia mempunyai kelebihannya tersendiri sebagaimana sabda Nabi hasil riwayat Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa'i, Ibnu Majah, Malik dan Ahmad:
'Pahala solat dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) 1,000 kali lebih baik daripada solat di masjid lain kecuali di Masjidil Haram.'
Ketika Rasulullah tiba di kota Madinah dengan menunggang unta, orang ramai berebut-rebut memegang tali untanya.
Unta baginda berhenti di atas sebidang tanah yang dijadikan tempat mengeringkan buah tamar. Tanah itu dimiliki dua anak yatim peliharaan As'ad bin Zurarah iaitu Sahl Ibn 'Amru dan Suhaiyl Ibn 'Amru.
Rasulullah membeli tanah itu dan menjadi tetamu di rumah Abu Ayyub Khalid Ibn Zayd al- Ansari yang terletak di depan tanah berkenaan. Baginda tinggal di situ hampir setahun lamanya.
Setelah perang Khaibar pada 7 Hijrah, Rasulullah melakukan proses pembesaran Masjid Nabawi dan perubahan dapat dilihat pada tiang yang bertulis di atasnya 'Ini sempadan Masjid Nabawi'.
Kini, selesailah projek pembesaran Masjid Nabawi oleh Khadim Al Haramain (Penjaga Dua Masjid Haram), Raja Fahd Ibn Abdul Aziz (Allahyarham).
Luas Masjid Nabawi ialah 165,500 meter persegi. Ia mampu menampung 257,000 jemaah solat.
Bahagian halaman masjid dibina dengan keluasan 230,000 meter persegi, 135,000 meter persegi daripadanya mampu manampung 250,000 jemaah solat.
Dengan keluasan keseluruhan mencapai 400,500 meter persegi, masjid ini mampu menampung 650,000 jemaah solat.
Pada musim haji, jumlah jemaah yang mendirikan solat boleh mencecah sejuta orang.
Makam Nabi Muhammad
Rasulullah saw wafat pada pagi Isnin bersamaan 12 Rabiulawal 111 Hijrah di bilik Sayidatina Aisyah ketika baginda berusia 63 tahun.
Rasulullah meninggalkan umatnya selepas jatuh sakit selama beberapa hari. Selepas jenazahnya disempurnakan, jasad baginda yang mulia dimakamkan di dalam sebuah bilik Aisyah pada malam Rabu keesokan harinya.
Bahagian kepala baginda terletak di sebelah barat dan kakinya di sebelah timur. Bahagian muka baginda pula ke arah selatan menghadap Baitullah.
Jarak antara jasad Nabi dengan dinding sebelah timur kira-kira 90 sentimeter, manakala dengan dinding sebelah barat pula kira-kira 150 meter.
Makam Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab
Selepas memegang tanggungjawab sebagai khalifah kira-kira dua tahun tiga bulan, Abu Bakar as-Siddiq jatuh sakit dan meninggal dunia pada malam Selasa bersamaan 8 Jamadilakhir 13 Hijrah ketika berusia 63 tahun.
Pada akhir hayatnya, Abu Bakar meminta izin daripada anaknya, Aisyah, supaya beliau dikebumikan bersebelahan Nabi saw.
Selepas Abu Bakar wafat, Umar al-Khattab dilantik sebagai Amirul Mukminin, Khalifah Islam kedua.
Beliau memegang jawatan itu selama 10 tahun enam bulan sebelum ditikam beberapa kali oleh seorang Majusi.
Ketika menanggung kesakitan itu, beliau sempat memilih calon khalifah di kalangan sahabat dan juga menghantar wakilnya menemui Aisyah agar mengizinkan jenazahnya dikebumikan di samping Abu Bakar.
Raudah
Raudah (bermakna 'taman') ialah antara tempat mulia yang terletak di dalam Masjid Nabawi. Kedudukannya di antara rumah Rasulullah (hujrah atau bilik Aisyah) di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat.
Tempat itu dinamakan Raudah bersesuaian dengan sabda Rasulullah hasil riwayat muttafaq alaih:
'Di antara rumahku dengan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.'
Dengan keluasan 22 meter panjang diukur dari timur ke barat dan 15 meter lebar diukur dari selatan (mihrab), Raudah menjadi tempat beribadah yang utama di dalam Masjid Nabawi buat Rasulullah dan para sahabat di samping tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya.
Kini kawasan Raudah mudah dikenali dengan warna hamparan berbeza daripada hamparan lain manakala tiangnya ditutupi marmar berwarna putih.
Perkuburan Baqi'
Baqi' ialah kawasan perkuburan bagi penduduk kota Madinah sejak zaman Rasulullah saw dan masih digunakan sehingga hari ini.
Perkuburan Baqi' terletak di sebelah kiri Masjid Nabawi dengan keluasan asal sekitar 150 meter panjang dan 100 meter lebar.
Kini, kawasan perkuburan itu telah diperluaskan oleh Kerajaan Arab Saudi dan dibina tembok tinggi di sekelilingnya. Ia hanya boleh dimasuki selepas solat subuh dan solat asar atau ketika ada jenazah yang hendak dikebumikan.
Menurut Aisyah hasil hadis riwayat Muslim:
'Rasulullah setiap kali malam giliran dengannya akan keluar pada lewat malam untuk menziarahi perkuburan Baqi' lalu memberi salam dan memohon keampunan untuk mereka yang dikebumikan di situ.'
Perkuburan Baqi' adalah makam bagi ummahatul mukminin, para isteri Rasulullah, kecuali Maimunah al-Harith dan Khadijah Khuwailid.
Ia juga menjadi tempat bersemadinya semua puteri Rasulullah saw: Rugayah, Ummu Kalthum, Zainab dan Fatimah.
Putera Nabi, Ibrahim, dan cucu baginda, Hasan bin Ali, turut dikebumikan di Baqi'.
Di kota Madinah juga terdapat tempat-tempat bersejarah yang penting yang kerap diziarahi jemaah haji. Antaranya ialah Masjid Quba, Masjid Qiblataian (masjid dua kiblat) dan pasar kurma.

No comments: