Friday, April 24, 2009

Fadilat bagi Hamba-Hamba Allah yg Bersolat Sepertiga Malam

SESEORANG dapat mendekatkan dirinya dengan Pencipta menerusi solat.
Antara solat sunat yang amat digalakkan ialah yang dilakukan pada sepertiga malam.
Dalam Surah Al-Israa ayat 79 ada ditegaskan yang maksudnya:
'Dan bangunlah sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah 'sembahyang tahajud' padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.'
Dalam ayat tadi Allah swt telah memerintahkan Nabi-Nya supaya melaksanakan solat malam atau qiamullail.
Namun, ramai antara kita yang memandang remeh akan perintah Allah ini.
Meskipun sifatnya ini khusus untuk Rasulullah saw, ia merupakan amalan sunat buat umatnya memandangkan kita dianjurkan mencontohi keperibadian Nabi.
Maksud qiamullail ialah mendirikan (qiam) malam (lail) atau cakap mudahnya 'menghidupkan malam dengan mendekatkan diri kepada Ilahi'. Ada juga beberapa solat malam seperti sunat istikharah, tahajud, taubat, tasbih dan sebagainya.
Selain melakukan solat sunat, kita digalakkan membaca Al-Quran, berdoa, berzikir, beristighfar memohon keampunan daripada Allah.
Ia juga merupakan malam bagi umat Islam merebut peluang memohon keampunan, muhasabah diri sambil mendekatkan diri kepada Allah.
Membaca Al-Quran adalah satu ibadah yang mempunyai ganjaran besar kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan 10 kebajikan.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:
'Bacalah olehmu Al-Quran kerana pada hari akhirat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.' - (Hadis Riwayat Muslim)
Antara surah yang baik untuk dibaca ialah:
Surah Yasin: Ia bak jantung Al-Quran.
Surah Al-'Ala: Ia merupakan surah yang sangat digemari oleh Rasulullah saw.
Surah Al-Fatihah: Ia merupakan pokok atau ibu Al-Quran.
Surah Al-Kahfi: Ia tempat naungan pada hari akhirat.
Surah As-Sajadah: Ia sangat digemari Rasulullah saw.
Surah Al-Mulk: Ia merupakan surah yang memberi syafaat di akhirat nanti.
Surah An-Nas dan Al-Falaq: Ia surah yang memberi perlindungan pada hari akhirat kelak.
Ada beberapa ayat dalam Al-Quran mengesahkan betapa besar keutamaan solat malam itu.
Allah menjelaskan bahawa orangorang yang menjaga solat malam itulah sebenarnya yang berhak dan layak menerima kebaikan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
'Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk bersembahyang) pada malam hari kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu sedikit. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.' (Surah Al-Muzzammil:1-4)
Sayidatinah Aisyah ra ada meriwayatkan yang maksudnya: 'Bahawa Rasulullah saw bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua-dua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah lakukan itu semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: 'Salahkah aku menjadi hamba-Nya yang bersyukur?'.'
Ada banyak hadis yang menyentuh kelebihan ibadat qiamullail. Sahabat Jabir ra mengatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
'Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang Muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah swt memohon keberkatan dunia atau akhirat, nescaya Allah kabulkan doanya... Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.' - (HR Muslim)
Dalam sebuah hadis lain pula, Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud:
'Wahai manusia, hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia sedang nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.' (HR At-Tirmizi)
Ibadat qiamullail boleh dikerjakan pada awal malam, pertengahan dan pada akhir malam selama ia dilakukan selepas solat isyak.
Rasulullah saw tidak mengerjakan ibadat qiamullail pada satu waktu tertentu. Malah baginda bersolat mengikut kesempatan dan keselesaan yang diperolehinya. Namun yang paling afdal ialah pada tengah malam iaitu sepertiga malam yang akhir.
Nabi saw bersabda yang bermaksud: 'Buatlah amalan-amalan itu sekadar kemampuanmu kerana Allah itu tidak jemu hingga kamu jemu.'
Amalan yang sedikit tetapi diamalkan dengan tekun lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi jarang dilakukan.
Persoalan tentang waktu solat malam dan bilangan rakaatnya terserahlah kepada individu menimbangkannya berdasarkan keikhlasan dan sikap 'ubudiah' kepada Allah swt.
Namun yang afdal ialah 11 atau 13 rakaat seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah saw iaitu campur sekali satu rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.

No comments: